Burj Al Arab yang bakal menjadi menara tertinggi di dunia.

Sepanjang perjalanan kira-kira 20 minit dari hotel tempat saya menginap tidak jauh dari Al-Karama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai untuk mengambil penerbangan ke New York, pagi Isnin pemandu teksi yang bernama Kamaldin rajin bercerita.

Kebetulan Kamaldin, seorang warganegara
India dari Madras yang beragama Islam pernah bekerja di Malaysia selama lima tahun pada tahun 1990-an.

Kini sudah tujuh tahun dia menetap di Dubai.

Sewaktu di Malaysia dulu dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran mamak yang ada rangkaian di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi.

Selama dua hari singgah di kota yang menjadi kegilaan orang datang membeli-belah ini lebih 10 kali saya naik turun teksi.

Di Dubai yang kini cuacanya mencecah hampir 40 darjah Celcius memang perit kalau nak jalan kaki ke mana-mana.

Keluar hotel sudah terasa bahang panasnya. Boleh jadi ayam panggang Tandoori kalau lama bertahan dalam terik matahari.

Teksi di Dubai memang berlambak. Dah tu semua pakai model kereta yang terbaru. Sampai ke pagi buta pun senang dapat teksi.

Harganya pula OKlah. Dari dalam bandar meter teksi bermula dengan 3 UAE Dirham ringkasnya disebut DHS atau RM3 apabila masuk.

Ambil teksi dari lapangan terbang pula untuk ke mana saja meter bermula dengan 20 UAE Dirham.

Kawasan financial district Dubai

Kamaldin bertanya apa tanggapan saya selama dua hari berada di Dubai. Dia mengangguk tanda setuju apabila saya kata semuanya mahal belaka.

Kami bertutur dalam Bahasa Malaysia kerana Kamaldin masih fasih cakap bahasa kita.

Sewaktu sampai ke Dubai pagi Sabtu lalu pemandu teksi yang saya naik dari lapangan terbang jenuh tolong cari hotel yang harganya sederhana.

Saya kata padanya boleh tak dapat sekitar 200 Dirham UAE yakni sama RM200 duit kita.

Semasa pencarian itu baru tahu betapa mahalnya harga bilik hotel di kota ini.

Hotel yang berharga sekitar itu berada di ‘ceruk’ dan di kawasan-kawasan yang ‘tak seronok’.

Saya minta dia carikan hotel yang ada kemudahan wireless internet dalam bilik sahaja tak kira sederhana macam mana sekalipun.

Nampak gaya keperluan itu membawa saya ke beberapa buah hotel ‘sederhana’ yang harganya antara RM450 hingga RM1,000 semalam.

Akhirnya setelah penat mencari saya terpaksa pilih sebuah hotel tidak jauh dari Al-Karama. Ia terletak di kawasan terdapat banyak apartmen para expatriate tinggal.

Teksi Dubai

Kalau di Malaysia paling mahal biliknya macam tu hanya RM200 semalam namun saya terpaksa mengalah dengan RM500 semalam.

“This is not peak season…if not 1,000 Dirham per night sir ,” kata penyambut tamu hotel tu.

Nak buat macam mana. Pada zaman koboi dulu ada istilah have gun will travel .Kini bagi pengendali laman web pula kena have internet will travel.

Tak kira di mana.. ada kemudahan internet keadaannya sama seperti bekerja macam dalam pejabat di Kuala Lumpur juga.

Masalah sikit untuk saya bergerak ke mana-mana tempat yang tak ada kemudahan ini kebelakangan ini kerana kawan-kawan lain masih gabra nak upload bahan dalam enjin laman web kerana kerumitan sistemnya yang perlu dipelajari dan biasakan diri.

Maaf sepanjang beberapa hari ini muka Agendadaily terbalik cerita bawah naik ke atas beberapa kali kerana ex-YB kita Datuk Badrul Hisham Aziz tengah dok cuba belajar mengendalikan page ..

He..he..susah juga nak ajar ‘pak tua’ kita ini yang awal-awal mengaku bab menulis dia anytime tetapi kalau nak main dengan sistem coding yang rumit ni dia perlu ambil masa yang panjang untuk master.

Sewaktu menunaikan umrah tahun lalu bersama kawan-kawan, Agendadaily terpaksa ‘tutup kedai’ dua minggu kerana tidak ada kemudahan internet dekat Masjidil Haram.

Lagipun kawan-kawan kata kita datang nak buat ibadah…jadi forget it.

Masa ke Banda Acheh baru-baru ini saya terpaksa bergelut sampai jam 4.00-5.00 pagi menelefon kawan-kawan untuk bantu update kerana masalah sikit dengan line internet di Acheh.

Nak ambil pengalaman main ski di negara yang panas terik...ada Ski Dubai di kompleks membeli belah Mall of The Emirates.

Begitu juga semasa ikut satu program ke Tuaran, Sabah hujung bulan lalu. Kemudahan internet dialup di situ melembabkan usaha nak update laman web.

Alhamdullilah kemudahan internet broadband di Dubai laju dan pantas. Halangannya cuma apabila on the road waktu agak terhad untuk selesaikan urusan ini.

Jadi buat sementara itu hingga pertengahan bulan ini... maaf terpaksa kira apa yang sempat sajalah.

Susah macam mana sekalipun sebenarnya tak lawan betapa susahnya nak hantar berita ke pejabat semasa di Utusan dulu apabila buat liputan di luar negara termasuk lawatan Perdana Menteri pada zaman hanya ada kemudahan telefon dan telex saja.

Waktu itu cabaran terbesar bukannya buat liputan tetapi selok belok macam mana nak hantar berita.

Saya masih ingat bagaimana sewaktu membuat liputan acara Perdana Menteri ke tiga negara serentak, Papua New Guniea, Australia dan New Zeland kami wartawan terpaksa beratur ambil giliran satu per satu nak taip sendiri berita di mesin telex di hotel di Port Moresby.

Keadaan yang sama dilalui nak hantar berita semasa membuat liputan lawatan Allahyarham Tun Ghafar Baba ke Hanoi ketika beliau Timbalan Perdana Menteri.


Juga pernah melalui saat mengerunkan kena berjalan kaki seorang diri melalui lorong-lorong berdebu pada waktu malam dari hotel di Dar Es Salam,Tanzania untuk ke pejabat telex.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila kena tinggal helikopter waktu sedang rancak hantar berita ke pejabat Utusan dengan telefon dari pejabat seorang kawan di bandar Kuala Lipis,Pahang semasa meliputi lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam ke situ.

Selesai saja acara, helikopter yang membawa rombongan wartawan berlepas bersama helikopter yang membawa Datuk Musa Hitam...tanpa saya.


Kini dari mana saja asal ada line boleh buka handset hantar terus berita atau di mana ada kemudahan internet pakai e-mail saja.

Fikir-fikir balik memang dah tak sanggup nak ulangi keperitan ‘ era zaman batu komunikasi’ itu.

Sebagai bandar antarabangsa Dubai menang cukup lengkap serba serbi.



Projek The Palm di persisir pantai Dubai...projek perumahan eksklusif untuk super kaya.

Pembangunan di bandar terbesar di United Arab Emirates ini kata orang ‘tengah menggelegak habis’.

Ini juga kadangkala buat orang ingat Dubai ialah ibunegara United Arab Emirates sedangkan ia Abu Dhabi.

Kamaldin juga bersetuju apabila saya kata berada di Dubai tak terasa macam di sebuah negara Arab.

Manakan tidak...lebih 70 peratus penghuni dan pekerjanya terdiri daripada orang luar.

“Saudara mesti tak kenal mana satu orang Emirates,” kata Kamaldin.

Perasaan murah semasa di sini hanya terasa semata-mata kerana tukaran matawang 1 Dirham UAE nak sama RM1.

“Itu sajalah,” katanya.

Menurut Kamaldin semasa di Malaysia dulu dengan RM10 dalam poket dia sudah terasa OK. Boleh makan itu ini tetapi berlainan dengan 10 Dirham UAE sekarang.

Suasana di Dubai Creek

Ikut cakapnya masa dia mula sampai bekerja di sini 7 tahun lampau kos hidup tidaklah begitu mahal macam sekarang.

Dubai kini bukan saja menjadi playground orang-orang super kaya serata rantau Arab tetapi juga dari Eropah dan Amerika.

Selain daripada pembangunan bangunan pencakar langit yang bentuknya hebat-hebat belaka seperti di Satwa, pembangunan projek-projek perumahan mewah kelihatan di mana-mana.

Apabila siapnya nanti projek Burj Dubai, takhta bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia akan beralih ke sini dari bangunan Taipeh 101 yang sudah potong Menara Petronas tahun lalu.

Projek primadona kepulauan buatan manusia seperti “The Palm” di persisir pantai Dubai yang satu unit rumah berharga berjuta ringgit sudah dapat menggambarkan bagaimana ia kini menjadi tempat tumpuan paling hangat di Timur Tengah.

Pembangunan rumah-rumah mewah sekitar pantai Jumeriah di mana terletaknya Hotel Burj Al Arab yang unik itu juga dapat memberi gambaran itu.

Kalau nak buat tinjauan tentang kompleks membeli-belah di bandar Dubai memanglah dua hari dua malam tak akan selesai.

Silap hari bulan kita boleh sesat dalam Mall of The Emirates atau Ibn Batutta Mall. Dalam brosur pelancongan, Dubai ada tersenarai 54 pusat membeli belah.

Setelah membuat tinjauan ke empat buah, soalnya apa sangat yang menarik tentang kompleks membeli belah di Dubai yang buat semua orang gila nak ke Dubai sekarang?

Hotel Burj Al Arab, yang menjadi ikon Dubai

Apa barang yang ada di Dubai yang tidak ada di Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta atau Bangkok?.

Mungkin setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tetapi jawabnya...secara umum tidak ada apa bezanya kecuali kalau nak berjalan tengok tempat orang.

Mungkin publisiti yang meluas mengenai Duty Free Dubai menjadi salah satu daya tarikan orang ke sini.

Ini juga mungkin buat orang ‘gila-gila’ membeli belah di kawasan Duty Free di balai berlepas lapangan terbang Dubai yang sentiasa sesak dengan penumpang yang hendak berlepas ke merata tempat.

Kamaldin bagitau saya pekerja-pekerja imigran memang tak masuk ke komplek-komplek beli belah yang tumbuh di merata-rata tempat itu.

“Itu semua tempat orang kaya,” katanya.

Dia hanya bercakap tentang bazar-bazar murah yang tidak berhawa dingin seperti di Jalan Naif di kawasan pusat bandar Deira yang ala Jalan Masjid India atau Petaling Street .